Wednesday, October 8, 2008

Koleksi Tazkirah Terbaru ( Bil 42 - Bil 44 )

TAZKIRAH BIL. 42
SYAWAL: BAGAIMANA KITA?

“Apa dan bagaimana selepas Ramadhan?”, persoalan berat yang mengulang datang. “Kembali kepada diri sebelumnya?”, kebarangkalian yang amat meletihkan. Timbul bibit sesal. “Mampukah untuk terus berlaku baik dan terus menerus menambah baik?”, pertanyaan yang berat untuk dipertimbangkan. Segalanya menjadi bahan renungan selepas kita meninggalkan Ramadhan. Persoalannya adalah Istiqamah atau konsisten untuk kekal baik dan lebih baik.

Memang pelik, manusia berbondong-bondong mengejar solat SUNAT Tarawih di Masjid, tetapi lengah terhadap solat FARDHU yang WAJIB sepanjang masa. Pelik benar, Ramadhan diisi dengan al-Quran, 11 bulan yang lain, al-Quran ditinggalkan. Janggal benar, Ramadhan menutup aurat, bulan-bulan yang lain macam berubah hukum, berubah Tuhan… justeru asing sekali, puasa sudah puasa, tetapi SOLAT belum-belum juga!

Itulah kusutnya persoalan ISTIQAMAH dan KONSISTEN. “Apa yang telah menjadikan engkau tua beruban?”, tanya sahabat kepada baginda SAW. “Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud…”, kata Baginda SAW dalam sepotong hadith yang direkod dari Ibn Abbas Radhiyallahu ‘anhuma. Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah HATI DISENTUH IMAN, HIDUP BERSAMA IMAN DAN AKHIRNYA MATI DENGAN IMAN.

Ilmuan Islam yang terkenal, Prof Dr Yusuf al Qaradawi dalam khutbahnya menegaskan: “Barangsiapa yang beribadah kerana Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan sudah berlalu. Barangsiapa yang beribadah kerana Allah, sesungguhnya Allah hidup selamanya dan tidak akan mati”. Bahkan para ilmuwan juga menyeru: “Jadilah kamu Rabbaniyyin (konsisten dalam mentaati Allah) dan janganlah kamu menjadi Ramadhaniyyin (hanya mentaati Allah dalam bulan Ramadhan)”.

Sebagai renungan, para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah amalan yang paling disukai Allah?” Lantas Baginda menjawab: “Amalan yang dilakukan secara konsisten walaupun sedikit” (riwayat al Bukhari). Justeru, amalan yang terbaik bukanlah amalan yang dilakukan secara banyak tetapi bermusim, tetapi amalan yang walaupun sederhana daripada sudut kuantitinya tetapi dilaksanakan secara konsisten!

***************************************************************************
TAZKIRAH BIL. 43
7 YANG BERTUAH

Rasulullah SAW bersabda: “Ada TUJUH golongan yang akan dilindungi Allah dengan lindungan Arasynya pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan dari Allah SWT:
1. Pemimpin yang adil, 2. Pemuda yang meningkat dewasa dalam beribadah kepada Allah, 3. Seseorang yang hatinya cinta kepada Masjid, 4. Dua orang sahabat yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah; 5. Seseorang yang bersedekah tanpa menghebohkan sedekahnya, sehinggakan (seperti) tangan kiri tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanan;
6. Seorang lelaki yang digoda oleh wanita yang cantik dan kaya, tetapi ia menolak sambil berkata: ”aku takut kepada Allah”;
7. Seseorang yang bangun di tengah malam untuk mengingati (beribadah) Allah, sambil mengalir air matanya.” (Hadith riwayat Muslim) Hadith di atas menceritakan 7 golongan yang dikasihi Allah dan bakal mendapat perlindungan dari Allah di Padang Mahsyar kelak. Ranking yang paling atas adalah para pemimpin yang adil dan accountable, seterusnya pemuda atau pemudi yang meningkat dewasa dan terus konsisten dalam beribadah kepada Allah, diikuti oleh seseorang yang sentiasa menjaga solat jamaahnya di masjid. Begitu juga dengan persahabatan yang dibina kerana Allah dan bukan kerana kepentingan-kepentingan lain seperti kekayaan dan keturunan dan sebagainya. Seterusnya seorang yang ikhlas dalam bersedekah sehingga diberikan kiasan tangan kiri tidak mengetahui perbuatan tangan kanan. Seterusnya lelaki ataupun wanita yang kuat menahan godaan walaupun daripada wanita atau lelaki yang kaya dan cantik/tampan. Golongan terakhir adalah seseorang yang sentiasa mengalirkan air mata taubat dalam setiap munajatnya di malam hari.
Sekiranya kita melihat kepada ketujuh-tujuh golongan tersebut, kita akan melihat adanya ciri sepunya yang dimiliki setiap golongan tersebut iaitulah TAQWA. Taqwa adalah root-cause yang mengangkat martabat ketujuh-tujuh golongan tersebut sehingga melayakkan mereka mendapat perlindungan daripada kedahsyatan suasana apabila seluruh manusia akan dihakimi segala tidak tanduk mereka di Padang Mahsyar kelak.
Apakah kita telah tergolong at least dalam salah satu daripada golongan tersebut? Syukur, kita masih belum terlambat untuk memperkasakan empayar taqwa dalam diri masing-masing. Sesungguhnya, sebaik-baik bekal adalah bekal taqwa!

***************************************************************************
TAZKIRAH BIL. 44
IKHLAS DAN TEPAT


Allah SWT berfirman: “Dan (Dialah) yang menciptakan kematian dan kehidupan sebagai UJIAN untuk mengetahui siapakah yang paling BAIK amalannya” (Surah al Mulk: 67: 2)

Bagi seorang Muslim, kehidupan ini umpama sebuah peperiksaan dan penilaian. Soalan-soalan dalam peperiksaan ini adalah segala tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan. Tanggungjawab ini termasuklah tanggungjawab terhadap diri, keluarga (kepada ibu bapa, adik beradik, isteri dan anak-anak), masyarakat dan Negara.

Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas, Allah SWT merangka ujian dan peperiksaan kepada hamba-hambaNYA untuk melihat siapakah yang paling baik ‘scoreband’ nya. Persoalannya, apakah skema dalam menentukan tinggi atau rendahnya markah yang diperolehi oleh seseorang itu dalam peperiksaan hidupnya???

Seorang ilmuan tersohor, Fudayl bin ‘Iyadh (ra) mentafsirkan bahawa setiap amalan itu akan dinilai daripada dua sudut:
1. NIATNYA; dan
2. KETEPATANNYA
NIAT: Seseorang yang cemerlang sentiasa mengikhlaskan niatnya dalam setiap perbuatan dan amalannya. Seseorang yang ikhlas tidak perlu memBODEK dan ‘ringan tulang’ hanya di hadapan majikan atau mertuanya semata-mata. Tetapi individu tersebut akan melaksanakan tanggungjawabnya biarpun tiada mata yang memandang. Motivasinya hanyalah satu; Mardhatillah (keredhaan Allah). Orang yang ikhlas adalah individu yang sentiasa melaksanakan yang terbaik, walaupun pujian dan sanjungan jarang diperolehinya. Baginya recognition dan promotion di sisi Allah adalah matlamat utama dalam hidupnya.

KETEPATAN: Kriteria seterusnya adalah menepati MANUAL HIDUP iaitu al Quran dan Sunnah. Dalam kehidupan seseorang yang cemerlang, ia bebas melakukan perkara yang disukai selagi tidak melanggar batasan yang diletakkan oleh Islam. Islam membenarkan perniagaan, hiburan, rekreasi, sukan, perkahwinan dan pelbagai lagi aktiviti yang digemari oleh manusia. Namun, kebenaran tersebut tidak bersifat mutlak. Islam memberikan pimpinan supaya perkara tersebut untuk mengelakkan kemudaratan dan kemusnahan kepada manusia. Ada yang bertanya: Mengapa babitkan Tuhan dalam urusan peribadi??? Orang sebegini sepatutnya bertanya kepada dirinya: Siapakah yang menciptakan diriku? Sebagai Muslim kita meyakini bahawa kita diciptakan oleh Allah sama seperti semua perkara yang wujud di alam ini. Mustahil semua wujud dengan sendirinya! Pastinya ada Kuasa yang Maha Agung yang menciptakan semuanya. Justeru kita meyakini segala hukum yang ditetapkan Allah pasti memberikan manfaat kepada kita kerana DIALAH yang menciptakan manusia. Sesungguhnya DIA yang lebih tahu!

Akhirnya, Pemeriksa ataupun Penilai kepada peperiksaan ini adalah Allah SWT. Dialah sebaik-baik Hakim dan Pemeriksa. PenilaianNya adalah sebaik-baik penilaian. Ganjaran dan hukuman adalah seadil-adil ganjaran dan hukuman. Malangnya, makhluk yang bernama manusia hanya berusaha untuk mendapat keputusan yang baik dalam penilaian biasa di dunia; Mereka lupa mereka sedang dinilai Allah!

***************************************************************************